Perlukah Anda Guna Belt Untuk Deadlift?

Tali pinggang adalah isu yang cukup besar dalam dunia gym. Untuk lebih tepat lagi, dunia deadlift cukup dipenuhi dengan masalah-masalah berkaitan tali pinggang. Ada yang kata kena pakai, ada kata tak perlu, kemudian kita ditakutkan dengan patah pinggang, macam-macam lagi!

 

Sebenarnya, bilakah yang anda patut gunakan tali pinggang? Admin pernah kena tegur dengan gym owner (tidak akan disebutkan) kerana deadlift 160kg tanpa tali pinggang. Katanya terlalu berat untuk Admin, walhal itu adalah berat warmup lagi, dan Admin ketika itu berlatih untuk pertandingan Strongman.

 

Sebelum gunakan tali pinggang, anda kena faham fungsi. Dan, fungsi tali pinggang bukanlah untuk menjaga pinggang anda daripada patah dan slipped disc. Malah, percaya atau tidak, penyalahgunaan tali pinggang adalah punca ramai mendapat slipped disc. Tali pinggang bertujuan untuk meningkatkan tekanan intra-abdominal lantas memberikan satu suasana yang kukuh untuk angkatan berat. Dengan syarat, anda mesti ada kekuatan otot teras yang mantap dahulu sebelum mencuba angkatan berat dengan penggunaan tali pinggang.

 

Dalam badan anda, ada tali pinggang semula jadi dikenali sebagai transverse abdominus. Anda kena kuatkan otot ini secara manual melalui senaman-senaman compound yang dilakukan dengan progresif. Tak paham? Buat senaman asas dengan konsep kekuatan dan jadi makin kuat. Elakkan penggunaan tali pinggang pada awal-awal latihan. Selagi anda tak capai sekurang-kurangnya deadlift 2x berat badan, anda tak perlu risaukan tentang penggunaan tali pinggang. Maksudnya, kalau berat anda 60kg, selagi anda tak dapat deadlift 120kg dengan mantap, jangan pening-pening pasal kena pakai tali pinggang atau tidak.

 

Apabila anda dah mendapat kekuatan asas, core anda juga dah mantap, form senaman anda juga padu, barulah anda berjinak-jinak dengan penggunaan tali pinggang. Itupun apabila anda menghampiri 100% daripada 1RM anda. Meskipun begitu, 1RM tidak semestinya memerlukan penggunaan tali pinggang.

 

Ini tidak bermakna Admin tidak membenarkan anda menggunakan tali pinggang. Sebaliknya, Admin menggalakkan anda guna tali pinggang secara bersyarat dan berilmu. Jangan pakai sepanjang masa, dan jika anda tak mampu deadlift tanpa tali pinggang, itu bermakna bebanan anda berat sangat ataupun core anda tak cukup kuat. Ringankan bebanan yang anda guna dan slow-slow bina kekuatan dengan penuh kesabaran.

Komen Facebook