Rasa Gatal Semasa Bersenam?

Pernahkah anda terasa gatal pada kaki, perut, lengan atau leher semasa aktiviti berjoging, berjalan kaki atau lain-lain senaman? Jika ya, mungkin anda mengalami satu masalah yang dikenali sebagai Runner’s Itch. Ianya sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak selesa dan secara tidak langsung mengganggu senaman anda, bukan? Malahan rasa gatal tersebut kadangkala menjadi keterlaluan sehingga ada yang terpaksa menghentikan sesi senaman dengan serta merta. Ada pula yang hanya mengalami masalah ini semasa aktiviti berjoging atau berjalan kaki, tetapi tidak mengalami sebarang masalah semasa bersenam di gymnasium ataupun bersukan. Jadi, mengapakah ianya boleh terjadi? Mari lihat beberapa faktor yang dikaitkan dengan Runner’s Itch.

 

Kulit Sensitif

Kadangkala rasa gatal tersebut disebabkan oleh kesan alergik terhadap bahan pencuci pakaian atau fabrik pakaian itu sendiri. Kebiasaannya kesan alergik ini tidaklah ketara sangat tetapi ianya akan menjadi teruk apabila bercampur dengan peluh dan menyebabkan rasa gatal. Lagi satu, anda juga akan mudah berasa gatal semasa berpeluh sekiranya kulit anda kering. Jadi, cuba sapukan losyen sebelum memulakan sesi senaman atau memakai pakaian berasaskan fabrik yang menyerap peluh dengan baik seperti fabrik sintetik, microfiber, cotton, calico dan spandex.

 

Terlalu Lama Berehat

Mungkin anda sudah lama tidak bersenam. Tahukah anda bahawa berehat terlalu lama juga boleh menyebabkan Runner’s Itch? Kadangkala ianya disebabkan oleh kapilari dan arteri yang mengembang dan menghasilkan deria rasa yang diterjemahkan oleh otak sebagai rasa gatal. Namun masalah ini akan beransur pulih seiring dengan peningkatan tahap stamina anda. Sesetengah individu akan menggunakan anesthetic numbing spray untuk mengurangkan rasa gatal.

 

Exercise-Induced Urticaria

Anda boleh mengenalpasti urticaria apabila rasa gatal tersebut disusuli dengan ruam atau bengkak pada permukaan kulit. Tindak balas alergik ini adalah disebabkan oleh keadaan yang terlalu panas atau sejuk dan juga perpeluhan. Selain daripada simptom-simptom di atas, kebiasaanya keadaan tersebut tidak membawa masalah yang serius seperti anaphylaxis. Salah satu cara untuk mengatasinya ialah dengan memakai pakaian yang bersesuaian dengan keadaan cuaca atau suhu bilik. Di samping itu, anda juga boleh mengambil ubat antihistamine sebelum sesi bersenam. Jangan risau, anda boleh memilih ubat antihistamin yang tidak menyebabkan rasa mengantuk seperti Cetirizine (Zyrtec), Fexofenadine (Allergra) Dan Loratadine (Claritin). Hanya pastikan anda telah mendapat nasihat daripada doktor, ahli farmasi atau pakar yang lain sebelum mengambilnya.

 

Akhir kata:

Walaupun masalah gatal menggangu sesi senaman anda, jangan biarkan ia menjadi penghalang kepada usaha anda untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Yang penting, anda perlu mengenalpasti punca-puncanya dan mendapatkan nasihat daripada pakar yang boleh membantu anda mengatasi masalah tersebut dengan cara yang selamat.

 

Entri: Tini Lorna Lim

Komen Facebook