Sepanjang Admin berlatih di gym, Admin dah mengalami pelbagai jenis kecederaan. Daripada leher, turun ke bahu, pergi ke siku, kemudian pinggang pula yang kena, lutut kadang-kadang ada sakit juga, dan buku lali yang terseliuh. Daripada situ kita belajar cara untuk mengatasi masalah-masalah tersebut. Lagipun, Admin merupakan pelajar fisioterapi dan ada juga pesakit-pesakit yang datang mempunyai masalah sama seperti ini.
Hari itu, Admin dapat persoalan berkaitan masalah sakit pergelangan tangan semasa bench press dan clean. Biasanya, masalah ini berlaku akibat bebanan yang berat yang terpaksa ditanggung pergelangan tangan. Pergelangan tangan kita dicipta untuk pergerakan yang besar (mobiliti) dan bukannya kestabilan. Sebab itu, ia mudah tercedera, sama seperti sendi bahu yang dicipta untuk pergerakan juga dan ia mudah tercedera.
Tetapi, tahu atau tidak, kebanyakan kecederaan berlaku bukan disebabkan latihan di gym, tetapi tabiat kita di rumah dan di tempat kerja. Hari ini, Admin kongsikan beberapa penyelesaian kepada masalah ini!
1- Pakai Wrist Wrap
Ini yang paling mudah, tetapi bukanlah solusi kekal. Beli sepasang wrist wrap daripada Dee Gym Supplement sini dan gunakannya semasa latihan-latihan yang mengganggu pergelangan tangan anda. Kegunaan balutan ini adalah untuk meningkatkan stabiliti sendi tersebut dan mengurangkan tension semasa senaman. Sebab itu, ia bukan solusi kekal tetapi ia dikira sebagai pembantu untuk mengurangkan kesakitan.
2- Gunakan Minyak Panas
Penggunaan bahan panas seperti sapuan balm kepada sendi-sendi bermasalah ini dapat membantu untuk mengurangkan sakit melalui perasaan “kebas-kebas”. Sama juga, ia bukan solusi yang membantu menghilangkan sakit. Sebaliknya, ia ibarat topeng yang menutupi sakit tersebut. Nonetheless, anda masih boleh gunakannya untuk sementara waktu.
3- Buat Urutan Sukan
Kadang-kadang, punca kesakitan badan kita adalah daripada otot-otot yang terlalu ketat. Ini menyebabkan ketidakseimbangan daya tarikan otot lantas menyebabkan rasa tegang-tegang dan sakit. Melalui urutan, anda dapat kurangkan tegangan ini lantas memperbaiki kondisi badan anda menjadi lebih baik. Urut dikira sebagai solusi yang agak bagus untuk membaikpulih struktur otot anda, tetapi urutan sukan sahaja tidak mencukupi. Anda kena tambahkan dua benda lagi iaitu…
4- Regangan Dan Senaman Rehab
Dua benda yang sering dilupakan, tidak kira oleh atlit mahupun orang biasa. Regangan adalah komponen yang sangat penting untuk menjamin kualiti hidup kita. Dengan gaya hidup harian sekarang, ramai yang akan mengalami masalah-masalah fizikal selepas beberapa tahun tertumpu dengan gaya tersebut. Maksud Admin, gaya hidup di tempat kerja, di rumah, di tempat belajar. Regangan akan bantu untuk mengekalkan kualiti dan fleksibiliti otot anda manakala senaman rehab akan bantu menguatkan mereka semula.
5- Jangan Tidur Atas Bahu
Tidur sebegini (tidur dengan tangan lurus ke atas dan menindih bahu) memberi tekanan yang tidak diperlukan pada sendi-sendi dan tendon otot anda. Sebab itu Admin kata, kadang-kadang kecederaan ini bukan berlaku semasa bersenam, tetapi semasa kita menjalani kehidupan kita macam biasa. Gaya hidup memberi kesan yang sangat besar kepada kita!
6- Gunakan Komputer Dengan Bijak
Ingat Admin kata pasal gaya hidup di tempat kerja? Ramai mengalami masalah pergelangan tangan kerana mereka banyak menggunakan komputer dengan cara yang salah. Dari segi postur badan, penggunaan keyboard, pemegangan mouse, posisi skrin komputer, dan macam-macam lagi! Asasnya, anda kena berada dalam posisi yang neutral daripada atas sampai ke bawah. Kalau anda mahu Admin cuba buat satu entri khas dan ringkas untuk postur yang betul semasa menggunakan komputer, tinggalkan sahaja komen anda dalam ruangan komen nanti!
Entri: Aiman Radzi (@TheTherabeast)