Macam mana cara untuk kita makan dengan betul dan melakukan latihan kecergasan dengan cara yang paling berkesan di bulan Ramadhan? Itulah kebanyakan soalan yang saya terima semasa kita berpuasa sekarang.

 

Bukan sekadar berpuasa, kebetulan pula kita sekarang dalam fasa PKP. Maksudnya, gym-gym masih belum dapat kebenaran untuk beroperasi seperti sediakala. Lagilah susah untuk kita workout, bukan?

 

Jadi, mulalah ramai yang risau otot mereka akan hilang, tahap fitness mereka akan merundum, dan kekuatan yang kian hari kian berkurangan. Harapnya kita semua rasa risau jugalah jika ibadah kita berkurang semasa bulan ini.

 

Kalau anda gunakan beberapa strategi ini, anda akan memaksimumkan kesan latihan dan diet anda semasa bulan Ramadhan ini. Kuncinya adalah untuk mendapatkan nutrisi yang mencukupi setiap hari.

 

Semasa berpuasa, badan kita akan kekurangan air (ini adalah normal). Sumber tenaga badan anda semasa berpuasa kebanyakannya diambil dari lemak badan anda. Jadi, sasaran kita adalah untuk memaksimumkan metabolisme badan.

 

Apa yang saya cadangkan ialah anda lakukan (secara maksimum) 2 kali latihan kardio seminggu. Latihan bebanan atau rintangan pula dilakukan bukan semasa berpuasa. Jadi, kalau anda nak main besi atau yang seumpama dengannya, lakukan selepas tarawikh.

 

Kenapa selepas tarawikh? Ini adalah untuk memastikan yang anda telah makan dan minum secara cukup supaya kita tak risikokan katabolisme otot (menguraikan otot sebagai bahan tenaga). Jika tak boleh bersenam selepas tarawikh, lakukan sebelum.

 

Untuk memaksimumkan pembakaran lemak, masa yang sesuai untuk bersenam ialah sebelum sahur (selepas qiamullail?). Kalau mampulah untuk bangun, minum air dan lakukan aerobik ringkas dalam 30-45 minit. Kalau rasa lama sangat, buat HIIT selamat 10 minit pun dah memadai (tapi kena buat yang betul-betul HIIT).

 

Antara makanan yang boleh kita ambil semasa bersahur adalah seperti telur, dada ayam, oatmeal, supplement protein, pisang, madu, kurma dan kismis, sayur-sayuran hijau, peanut butter, dan air yang banyak. Pilihan ada macam-macam, yang mana anda boleh konsisten amalkan, pilih yang itu.

 

Untuk berbuka pula, jangan makan macam tak ingat dunia. Amalkan makanan yang sihat dan seimbang. Jika perlu, lebihkan kuantiti mengikut kehendak kalori badan anda. Kurma adalah antara pilihan terbaik untuk membekalkan tenaga kepada anda.

 

Selamat berpuasa! Penulis: Aiman Radzi