Apakah sebab berat badan kita tidak sama? Pagi timbang lain, petang timbang lain, malam timbang lagilah lain. Ini memang mengganggu mereka yang sangat sukar nak jaga berat badan.

Pertama sekali, janganlah timbang setiap masa. Jangan jadi hantu penimbang. Badan kita memang ada masa turun, ada masa naik. Ini adalah perkara sangat normal kerana jisim air dalam badan.

Air dalam badan berubah mengikut keperluan. Ketika kita konsisten bersenam, badan kita akan menyimpan lebih banyak air kerana sensitiviti insulin meningkat. Oleh itu, otot akan menyerap lebih banyak nutrisi bagi proses pembekalan tenaga dan pemulihan.

Memakan lebih banyak karbohidrat juga akan menyebabkan badan kita menyimpan lebih banyak air. Ini adalah bagus kerana ia membantu otot untuk mengerah lebih banyak tenaga.

Turunnya berat badan adalah apabila kita henti bersenam seketika atau berpuasa, makan kurang, dan lain-lain. Meskipun pagi timbang ringan, malam timbang berat, semua itu adalah air. Tak semudah dalam sati malam sahaja nak bakar otot atau simpan lemak.

Jangan pula berharap badan anda sebesar dan menjadi seperti waktu anda berlatih di gym sepanjang masa. Cuba selepas workout dan tengok cermin, nampak sado, kan? Balik rumah, kecut balik. Ini juga normal dan ia dikenali sebagai kesan pam darah ke dalam otot.

Fokus untuk kesan masa panjang dan bukan kesan semalaman. Konsisten dengan latihan dan pemakanan anda. Hasilnya akan datang.