Tak Mampu Ke Gym? Tak Ada Masalah!

Gym adalah tempat yang anda boleh dapatkan motivasi dan panduan yang betul untuk bina badan. Suasananya lebih sesuai untuk berlatih berbanding tempat lain. Tetapi, jika anda tak mampu ke gym, adakah anda tidak layak untuk membina badan?

 

Tidak sama sekali! Anda masih boleh berlatih untuk membina otot meskipun tidak ke gym. Ada pelbagai jenis senaman yang mampu membina otot dan boleh dilakukan di mana-mana, hatta di rumah bersebelahan dengan katil tidur.

 

Tapi, sebelum itu, anda kena siapkan beberapa benda!

 

Beg Kosong

Beg ini bertujuan sebagai tempat untuk anda isi bebanan. Anda perlukan bebanan yang dibuat sendiri (jika anda tiada dumbbell dan barbell di rumah) untuk berlatih. Tanpa bebanan, ia masih boleh dilakukan tetapi badan anda mudah sesuaikan diri dengan latihan kosong.

 

Bebanan

Untuk bebanan yang akan diisi ke dalam beg, anda boleh isi dengan apa sahaja, asalkan beg tersebut terisi dengan benda yang berjisim. Contohnya, anda boleh gunakan buku, botol air, batu, pasir yang diletakkan dalam plastik, dan macam-macam lagi! Tipnya, anda kena ingat berapa beban anda letak hari itu supaya anda boleh tambah lagi lain kali. Sebagai contoh, kalau anda boleh buat push up dengan beg berisi buku sebanyak 10 buah buku, anda akan tambahkan buku sikit-sikit sampai boleh isi 15 pula. Ini dipanggil progressive overload dan inilah kunci bina badan.

 

Progressive Overload

Tanpa komponen ini, anda tidak mampu menjadi kuat dan tidak boleh membina otot. Kenapa? Badan anda perlukan rangsangan untuk membesar, dan ia datang daripada progressive overload yang anda kenakan pada badan. Sama seperti di gym yang melatih anda untuk menggunakan beban semakin berat, anda akan guna konsep yang sama cuma bebanan direka sendiri.

 

Kalau anda ada tiga benda ini dan anda faham serta hadam betul-betul, anda boleh bina badan di mana-mana sahaja! Barbell dan dumbbell bukanlah ubat ajaib bina badan, tetapi ia hanyalah medium. Usaha andalah yang merupakan ubat paling mujarab. Semakin kuat usaha, semakin kuat ubatnya.

 

Entri oleh: Aiman Radzi (@TheTherabeast)

Komen Facebook