Kalau nak sembang pasal teknik bina badan memang tak akan habis. Daripada dulu lagi saya kongsikan pelbagai jenis latihan yang membina badan. Kelebihan ada pelbagai jenis begini ialah anda boleh mencari yang mana paling berkesan untuk anda.

Semua teknik berkesan sahaja selagi anda konsisten dengan latihan anda buat. Kalau buat sekejap-sekejap, memang tak sempat nak nampak hasil. Bagi peluang dan masa untuk latihan anda memberikan hasil.

Teknik 50 rep ini sesuai untuk kedua-dua latihan membina kekuatan dan latihan bina otot (hypertrophy). Teknik ini juga sesuai dilakukan pada penghujung sesi latihan anda.

Bagaimanakah cara nak buat teknik ini? Anda akan buat 50 rep yang dipecahkan kepada 3 set. Tak kisah berapa rep anda buat satu set, tapi penghujungnya anda mensasarkan sejumlah 50 rep kesemuanya.

Mungkin anda boleh buat 20 rep set pertama, 15 rep set kedua, dan 15 rep set ketiga. Jika anda tak mampu habiskan 50 rep, maksudnya anda kena kekalkan berat dan usaha sampai boleh habis 50 rep. Apabila dah boleh buat, naikkan berat pula.

Teknik latihan ini mengaplikasikan simple progression. Anda menggunakan stimulasi yang semakin berat dari semasa ke semasa untuk membina otot. Gunakan sahaja apa-apa bebanan, selagi belum cukup 50, kekalkan bebanan.

Kalau anda boleh buat lebih 30 rep pada set pertama, itu bermakna anda lebih daripada bersedia untuk tambahkan bebanan. Cantiknya anda mulakan dengan bebanan yang anda hanya boleh buat 18-20 rep sahaja bagi set pertama.

Entri: Aiman Radzi