Ramai antara kita yang terlalu susah untuk naikkan berat badan. Tak kesah berapa banyak pinggan nasi yang dia makan, kadang-kadang kita sendiri takut tengok macam bela saka. Makan punyalah banyak, tapi badan tak naik-naik juga. Susahnya nak bina badan!
Sebenarnya, bukan susah tetapi gaya anda tak kena. Biasanya, kalau anda makan dah banyak tapi belum naik berat badan, ada dua kemungkinan yang berlaku:
- Anda rasa dah makan banyak tapi hakikatnya tidak.
- Anda tidak berlatih dengan program latihan yang betul.
Tentang Pemakanan
Untuk membina badan, anda kena pandai matematik dan pandai jadi ala-ala akauntan. Sebab apa, anda kena simpan banyak maklumat pemakanan anda dan main kira-kira kalori. Kalau anda rasa susah, mungkin dunia bina badan bukan untuk anda. Tetapi, jangan risau sebab kami ada solusi mudah yang mungkin boleh membantu anda!
Masukkan Snek Secara Kerap
Snek termudah, terbaik, dan sangat ekonomi adalah roti mentega. Boleh juga buat roti dengan telur (samada rebus, pecah, ataupun digoreng). Tujuan snek adalah untuk menambahkan jumlah pengambilan kalori harian anda. Jangan tanya banyak mana kena makan snek. Kalau anda dah susah nak naik berat badan, makan sahaja snek apabila anda lapang. Lagi baik kalau anda dapat ambil snek tiga kali sehari (berselang-seli dengan waktu makan biasa). Takkan sekeping dua roti antara makan nasi pun tak boleh nak masuk?
Tentang Latihan
Latihan yang anda buat wajib berkonsepkan kekuatan. Maksudnya, anda kena fokus untuk menjadi lebih kuat daripada semasa ke semasa. Jangan hanya angkat berat yang sama selama berbulan-bulan. Itulah puncanya anda tidak boleh naik berat badan mahupun naik berat otot. Apakah rutin latihan terbaik yang anda boleh buat?
Latihan 5×5
Untuk menjadi lebih kuat, anda tak boleh buat banyak rep. Kalau dah tak boleh buat banyak rep, maksudnya anda kena guna yang berat sikit. Cari beban untuk satu-satu senaman yang anda boleh buat sebanyak 6-8 rep sahaja. Kemudian, gunakan beban tersebut untuk buat 5 rep sahaja sebanyak 5 set. Gunakan beban yang sama untuk kesemua set. Kalau anda boleh habiskan semua set, naikkan berat sedikit untuk sesi latihan yang seterusnya. Seminggu boleh naik 5kg beban, tak perlu banyak-banyak. Gunakan konsep ini untuk kesemua latihan badan anda, tak kira kaki ke, dada ke, tangan ke, bahu ke, dan lain-lain.