Menurunkan berat badan bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan dedikasi, motivasi serta daya usaha yang tinggi. Perkara yang perlu diutamakan semasa proses menurunkan berat badan ialah berapa banyak pengambilan kalori dan berapa banyak kalori yang dibakar. Pastinya berat akan turun dengan cara mengurangkan kalori tetapi, dengan mengubah apa yang anda makan, proses ini akan menjadi lebih mudah. Berikut adalah perubahan kecil yang anda boleh lakukan semasa memilih jenis makanan dan cara penyediaan yang lebih sihat.
Kurangkan/singkirkan daging merah dari diet harian anda.
Mengurangkan pengambilan daging merah membantu mengurangkan jumlah kalori harian. Jika anda masih ingin memakan daging merah 1-2 kali seminggu, pastikan anda memilih bahagian yang kurang berlemak dan kecilkan saiz hidangannya. Banyakkan memakan ikan, ayam dan itik. Protein tanpa lemak membantu anda rasa kenyang dengan lebih lama. Apabila makan di luar, pilih menu yang tidak bergoreng. Elakkan perasa tambahan seperti sos dan lain-lain.
Ubah cara masakan
Elakkan/kurangkan memasak dengan cara menggoreng. Merebus, membakar, memanggang dan menggril adalah cara penyediaan yang lebih sihat.
Mulakan hidangan dengan sup atau salad
Meminum secawan sup atau semangkuk salad sebelum makan boleh membantu anda merasa kenyang dengan lebih cepat, dan seteruskan mengelakkan anda daripada makan berlebihan. Sup sayur merupakan pilihan yang paling ideal kerana ianya kaya dengan fiber dan nutrisi yang sihat. Sekiranya anda lebih suka salad, pastikan anda memilih salad dressing yang kurang kalori seperti cuka balsamic atau lemon.
Akhiri hidangan dengan memakan buah
Jadikan buah-buahan sebagai pemanis mulut anda. Ianya bukan sahaja rendah kalori, malah ia juga membekalkan vitamin dan mineral yang anda perlukan. Namun mengambil buah-buahan selepas makan dipercayai akan mengurangkan kadar penyerapan kandungan nutrien dalam tubuh. Tapi hal ini tidak benar. Apabila anda makan, makanan tersebut akan disimpan di dalam perut, dan dari semasa ke semasa, makanan tadi akan dihantar ke usus sedikit demi sedikit. Untuk pengetahuan, usus manusia berukuran 6 meter dengan absorptive area yang bersaiz 30 meter persegi. Ini bermakna ia berupaya menyerap—sebanyak yang mungkin—nutrien daripada buah yang anda makan, tidak kiralah sama ada dimakan sebelum/selepas makan atau semasa perut kosong.
Entri: Tini Lorna Lim